JAKARTA – Beberapa pendaki nyaris terbunuh apabila sebuah gunung berapi aktif yang terletak di utara Pulau Halmahera, wilayah Maluku Utara meletus ketika mereka mendaki, lapor portal berita MailOnline semalam.
Awan abu yang besar dilihat keluar dari kawah dan menjulang kira-kira 2,438 meter ke udara di Gunung Berapi Dukono.
Kumpulan pendaki tersebut dengan pantas bergegas menuruni gunung setinggi 1,335 meter itu untuk melarikan diri daripada bahaya yang bakal menimpa.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Video detik kejadian dirakam menggunakan sebuah dron pada 17 Ogos lalu.
Individu yang merakam kejadian itu, Anak Esa berkata: “Sebelum mendaki ke puncak, kita perlu perhatikan dahulu arah angin, seberapa kuat letusan (gunung berapi) dan beberapa pertimbangan lain. Pulang dengan selamat adalah matlamat sebenar pendaki.”
Keputusan kumpulan pendaki untuk mendaki gunung berapi berbahaya itu dibidas oleh ramai netizen.
“Mengapa berada di atas gunung berapi? Mengapa manusia melakukan perbuatan ini? Saya tidak faham mengapa ia perlu dilakukan,” tulis seorang netizen. – AGENSI