PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah berusaha untuk mengharamkan UMNO seperti yang didakwa oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pejabat Mahathir dalam satu kenyataan menegaskan, dakwaan yang dibuat oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri tersebut merupakan suatu tuduhan yang tidak benar.
“Sesungguhnya jika Mahathir berhasrat untuk mengharamkan UMNO, beliau sebagai PM (Perdana Menteri ke-7 ketika itu) boleh arah Menteri Dalam Negeri melakukannya serta merta.
“Tetapi selama dua tahun lebih Mahathir jadi Perdana Menteri, UMNO terus berada.
“Mahathir menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah kalah (dalam Pilihan Raya Umum ke-14), tidak lagi mewakili orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, pembubaran yang dicadangkan terletak di atas bahu Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO jika mereka menyedari bahawa parti itu telah terpesong daripada perjuangan dan tidak layak menggunakan nama UMNO.
“Bahawa parti yang bernama UMNO masih ada hingga sekarang membukti parti itu tidak pernah diharamkan,” tegasnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid secara terbuka mengakui beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7, sebagai usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Beliau juga menyifatkan tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO. – KOSMO! ONLINE