PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan kebanyakan kawasan di Semenanjung berdepan cuaca buruk di sebelah petang dan keadaan tersebut boleh berlanjutan hingga ke malam, sepanjang minggu ini.
Menerusi kenyataan MetMalaysia hari ini, selain negeri di Semenanjung, beberapa kawasan utama di Sarawak dan Sabah turut berisiko dilanda hujan lebat dalam tempoh tertentu.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak sehingga 24 Ogos 2024.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan udara yang berpotensi membawa hujan lebat di negeri-negeri tersebut terutamanya di bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Tawau bagi negeri Sabah, serta di kawasan tengah dan selatan negeri Sarawak,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE