KUALA TERENGGANU – Sikap tamak seorang juruukur bahan kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima rasuah termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, lima tahun lalu membawa padah apabila dia didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Malike Mohamed, 52, membuat pengakuan bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didenda RM2,500 bagi kelima-lima pertuduhan selain motosikal Yamaha Y15ZR diperintah agar dilucut hak kepada kerajaan.
Sebelum ini, tertuduh menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu lapan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 manakala satu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa menerima suapan berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM14,500 daripada sebuah syarikat sebagai dorongan melancarkan tuntutan bayaran berkaitan kerja-kerja rasmi terhadap UniSZA. – KOSMO! ONLINE