fbpx

Tiada niat hina institusi raja, ada pihak putar belit ucapan – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin selesai memberi keterangan berhubung isu 3R di pejabat MIDA, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sekali lagi bahawa beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Diraja seperti yang didakwa.

Menurut beliau, ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini adalah fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara sepintas lalu.

Ucapan pada kempen tersebut menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan orang ramai.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa terdapat pihak yang telah memutar belit kenyataan termasuk menyunting video ucapan dengan niat untuk memfitnah kononnya dia telah menghina Yang Di-Pertuan Agong ke-16 serta menghasut rakyat supaya membenci raja.

“Dalam kenyataan saya kepada pihak polis pada hari ini, saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

“Tidak ada sepatah pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya dalam kenyataan yang diberikan kepada pemberita.

Muhyiddin diambil keterangan hampir sejam oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, hari ini.

Beliau tiba di pejabat MIDA kira-kira pukul 10.30 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan perkara yang diucapkan telah berlaku hampir dua tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina dan membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sebaliknya tambah beliau, pada November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10.

“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI