PUTRAJAYA – Bekas penarik kereta, Koong Swee Kwan yang membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi dalam kejadian 11 tahun lalu, kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal selepas menolak semakan hukuman mati terhadap Swee Kwan, 55, selaku pemohon.
Dalam penghakimannya, Hakim Harmindar berkata kes tersebut adalah luar biasa apabila pembunuhan itu jelas dirancang dengan niat untuk memastikan si mati tidak terselamat.
“Pembunuhan itu dilakukan pada siang hari, mendatangkan ketakutan kepada masyarakat. Pembunuhan telah menyebabkan si mati mengalami tujuh luka tembakan dari jarak dekat dan ia adalah keganasan luar biasa. Kami juga dapati tiada keadaan yang boleh meringankan kes ini. Jadi permohonan ditolak (ketepi hukuman gantung),” kata Hakim Harminder.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan atas alasan kes ini tertakluk di bawah kategori ‘kes yang paling jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
Beliau berhujah, pembunuhan yang berlaku pada siang hari itu telah dirancang terlebih dahulu kerana pemohon menembak mangsa pada jarak dekat sebelum melarikan diri dengan mengupah pemandu teksi yang membawanya ke tempat kejadian.
Ujar beliau, rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian menunjukkan pemohon menembak mangsa sebanyak tujuh kali, manakala isterinya juga ditembak dan mengalami kecederaan.
Sementara peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, kes tersebut bukan dikategorikan sebagai luar biasa dan anak guamnya memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Mengikut pertuduhan, Swee Kwan didakwa membunuh Hussain, 75, (umur ketika kejadian) di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon, di sini antara pukul 1.30 tengah hari dan 2 petang, pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.
Dalam kejadian tragis itu, Hussain maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.
Pada 27 Oktober 2017 Swee Kwan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman yang mendengar kes itu mendapati Swee Kwan bersalah dan berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ab Karim juga menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Swee Kwan kerana didapati bersalah cuba membunuh isteri pengasas AmBank itu, Cheong Mei Kuen.
Kemudian, pada 1 Mac 2021 Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan sabitan dan hukuman sama terhadapnya.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf ketika itu turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan ke atas Swee Kwan bagi kesalahan cuba membunuh isteri Hussain.
Dalam penghakimannya, Hakim Rohana berkata, pembelaan Swee Kwan selaku perayu ketika itu telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi, namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan. – KOSMO! ONLINE