PETALING JAYA – Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) mencatat volum jualan sebanyak 4.3 bilion liter bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2024 (Q2 FY2024).
Peningkatan ini disumbangkan oleh permintaan yang baik semasa musim perayaan, promosi kempen yang berjaya dan juga pertambahan volum daripada industri penerbangan.
Pertumbuhan volum ini telah menyumbang sebanyak 10 peratus kepada hasil yang telah bertambah kepada RM9.8 bilion berbanding RM8.9 bilion suku tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, volum diesel pula menyusut pada bulan Jun lalu ekoran pelaksanaan Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) 2.0 yang telah mengurangkan pertumbuhan dalam volum komersial diesel ekoran kenaikan harga di pasaran.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, jualan yang mencatat rekod dalam tempoh kewangan ini adalah petunjuk kepada kekuatan jenama dan keyakinan pelanggan terhadap jenama syarikat.
“Meskipun kami menyedari pasaran kini semakin mencabar tetapi kami akan terus komited mengekalkan prestasi sedia ada melalui perancangan strategik dan fokus kami serta kecekapan dalam operasi.
“Keupayaan kami adalah untuk mengekalkan keuntungan dalam persekitaran mencabar ini dan menggariskan daya tahan model perniagaan serta keberkesanan terhadap strategi kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Secara keseluruhan, keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan bertambah sebanyak enam peratus meskipun berlakunya kenaikan dalam perbelanjaan operasi seiring dengan peningkatan aktiviti yang dijalankan.
Jumlah hasil bagi separuh pertama tahun 2024 naik 10 peratus kepada RM19.2 bilion dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM722.9 juta.
Menuju ke hadapan, Azrul Osman menerangkan, Petronas Dagangan akan kekal fokus untuk mengekalkan prestasinya dalam semua segmen.
Bagi segmen runcit, syarikat akan berinisiatif untuk membangunkan jumlah asas pelanggannya dan meneruskan perkongsian nilai tambah untuk meluaskan misi berkenaan.
Bagi segmen serbaneka yang popular dengan Mesra dan Setel, pihak syarikat akan memastikan ia terus menjadi peneraju utama kepada pertumbuhan perniagaan bukan berasaskan minyak. -KOSMO! ONLINE