PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.
Katanya, beliau dalam pertemuan tersebut menjelaskan beberapa perkara penting terutamanya melibatkan dasar-dasar kerajaan mencakup langkah mensasarkan semula subsidi diesel yang akan memanfaatkan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang.
“Meski ia bukan langkah yang populis, tetapi masalah itu perlu didepani dengan cermat dan berani agar negara ini dapat diselamatkan.
“Dalam majlis yang sama, saya turut sampai serta jelaskan mengenai kedudukan ekonomi kita yang kian berkembang dan terus kukuh.
“Ia berdasarkan dapatan dari Jabatan Perangkaan dan Bank Negara, baru-baru ini yang melaporkan ekonomi negara berkembang 5.9 peratus melebihi unjuran asal,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar memulakan lawatan kerja rasmi ke India selama tiga hari bermula kelmarin hingga Rabu.
Untuk rekod, ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke India sejak menerajui kerajaan pada 2022 selain dilihat penting kerana menjadi titik tolak utama dalam mengeratkan hubungan dua hala kedua negara. – KOSMO! ONLINE