LONDON – Pelumba Sepanyol, Alex Marquez mengakui tahun pertamanya bersama pasukan Repsol Honda merupakan pengalaman berguna untuk memahami karakter jentera buatan Jepun tersebut menjelang perlumbaan 2021 nanti.
Juara dunia Moto2 2019 tersebut dilihat sukar untuk menjinakkan jentera Honda, namun pada pertengahan saingan Alex mula mendapat rentak apabila berjaya meraih tempat kedua berturut-turut di Grand Prix (GP) Perancis dan Aragon.
Bagaimanapun, impian Alex untuk kekal bersama pasukan itu tidak bertahan lama apabila dia diarahkan menyertai pasukan LCR Honda untuk menggantikan tempat Cal Crutchlow dan akan bergandingan bersama Takaaki Nakagami.
“Saya tidak fikir menyertai LCR membuatkan saya terpaksa bermula dari bawah semula. Saya mempunyai mekanik yang terbaik dan berpengalaman luas dalam perlumbaan MotoGP. Saya juga akan ditemani rakan sekerja saya di Moto2 iaitu David Garcia.
“Saya mengenali mereka dan ia memberi lebih keyakinan untuk bersaing bersama pasukan LCR Honda. Saya yakin dengan pengalaman pasukan LCR, mereka mampu meletakkan saya kembali ke podium,” kata Alex.
Dalam pada itu, Alex mengakui semakin yakin dan bersedia untuk turun beraksi dalam saingan MotoGP dan sudah memahami karakter jentera Honda dengan lebih baik.
“Saya harap dapat turun semula menguji jentera LCR nanti memandangkan tahun ini sedikit mencabar berikutan pandemik Covid-19. Saya harap kami semua dapat kembali beraksi pada sesi pramusim nanti,” tambah Alex. – AGENSI