LONDON – Pelumba Haas, Mick Schumacher meletakkan sasaran untuk melangkah ke kelayakan kedua (Q2) pada setiap sesi penentuan petak.
Menurutnya, kejayaan itu adalah seperti kemenangan bagi dirinya jika berjaya melakukannya bagi penampilan sulungnya di saingan Formula Satu (F1) musim depan.
Mick dijangka berdepan tugas berat apabila Haas gagal tampil cemerlang pada musim lalu apabila sekadar mampu mengutip tiga mata menerusi dua pelumbanya iaitu Romain Grosjean dan Kevin Magnussen.
“Tahun depan merupakan musim yang sukar bagi saya, namun perkara utama yang perlu kami tekankan adalah mencapai sasaran yang telah kami rancang sebelum ini. Pasukan sentiasa berfikiran terbuka daripada setiap aspek yang akan terjadi pada tahun depan.
“Bagi saya, Q2 adalah matlamat kami dan kui ia sukar untuk menembusinya, tetapi jika kami berjaya melepasinya ia seperti satu kemenangan bagi kami.
“Saya akui ia bukan sahaja memberi motivasi kepada kami, malah menunjukkan pasukan ini sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan hasil lebih baik,” kata Mick.
Pelumba akademi Ferrari itu mengakui tidak sabar untuk mengikut jejak langkah ayahnya dengan mengukir nama dalam saingan F1.
“Sudah pasti beraksi dalam saingan F1 merupakan impian saya selama ini dan menjadi detik bersejarah bagi saya serta keluarga. Namun, saya ingin fokus pada perlumbaan dan sasaran bersama pasukan,” ujarnya.
Mick menutup karier perlumbaan Formula 2 (F2) dengan bergelar juara dunia musim 2020 sebelum menyertai Haas. – AGENSI