KEMAMAN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membelasah isterinya pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 46, yang mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Noorinda memohon lelaki itu yang berhenti mendapatkan rawatan psikiatri sejak Mei tahun lalu menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Wan Suhaila membenarkan permohonan tersebut dengan mengarahkan Ahmad Nor Al Faizan melalukan pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan kepala, pipi, tangan dan belakang badan isterinya yang berusia 43 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Ahmad Nor Al Faizan di rumah mereka di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Chukai di sini pada pukul 5.52 petang, 16 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada pada 23 September depan. – KOSMO! ONLINE