fbpx

Kenangan bah dan ‘kuih dalam kain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Bagi masyarakat Kelantan, musim tengkujuh atau juga dipanggil ‘musim bah’ akan mencoretkan pelbagai kisah suka dan duka yang pastinya meninggalkan 1001 memori buat mereka.

Setiap tahun, hampir keseluruhan negeri Cik Siti Wan Kembang itu akan ‘dikunjungi’ angin Monsun Timur Laut berserta dengan hujan lebat bermula Oktober sehingga Januari.

Ketika itu jugalah media akan melaporkan pelbagai cerita duka umpamanya kisah mereka yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kerosakan harta benda dan yang pa­ling sedih adalah kehilangan ahli keluarga akibat lemas.

Namun, di sebalik kesedihan itu, Allah juga datangkan mereka dengan rezeki yang tidak disangka oleh orang lain.

Bagi penulis yang berasal dari negeri tersebut, meskipun pernah menjadi salah seorang mang­sa banjir terburuk pada tahun 2014, banyak lagi rezeki yang A­llah turunkan setibanya musim bah ini.

Sebagai contoh, kedatangan musim bah akan turut membawa sejenis kuih yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Kelantan iaitu putu halba atau lebih dikenali dalam masyarakat tempatan sebagai ‘kuih dalam kain’.

Kuih ini diperbuat daripada ubi kayu yang telah diparut sebelum dicampur manisan kelapa dan sedikit biji halba.

Penyediaanya cukup mudah, ubi parut itu akan digaul bersama halba dan kemudiannya diletakkan sedikit gula Melaka sebelum dibentuk menjadi ‘doh’ dan terus dikukus. Ubi yang telah siap dikukus akan disalut pula dengan kelapa parut di luarnya.

Jika anda ke Kelantan pada musim ini, hampir segenap jalan, kampung dan daerah akan menjual kuih ini. Ia akan menjadi ‘fenomena’ dan hampir setiap kedai akan dipenuhi pelanggan kerana kuih ini hanya muncul setahun sekali sahaja.

Susulan sambutan itu, pas­tinya ia membuka satu peluang perniagaan kepada masyarakat di negeri ini untuk menjana pendapatan khususnya pada musim bah

Selain jualan kuih bermusim, musim bah juga turut ditunggu oleh pemburu ikan darat atau dikenali sebagai ‘nelayan darat’.

Jika sebelum ini, ‘kerjaya’ mereka adalah petani dan penoreh getah, namun apabila tiba musim bah, mereka mengubah ‘profesion’ itu menjadi nelayan darat bagi memburu ikan air tawar di bendang dan sungai.

Hasilnya sangat lumayan dan ia boleh mencecah ratusan ringgit sehari bergantung kepada jumlah tangkapan. Bagi peminat ikan air tawar ini, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang mendapatkan bekalan ikan segar ketika musim bah.

Bagi penulis, coretan ini adalah sebahagian daripada memori indah masyarakat Kelantan yang sedikit sebanyak dapat mengubati kedukaan ketika musim bah yang mana bagi sesetengah orang ia adalah musim yang paling sukar dan menyedihkan.

Sementara itu, memetik laporan Jabatan Meteorologi Kelantan sebelum ini, negeri berkenaan diramalkan tidak akan mengalami banjir besar musim monsun seperti tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pengarahnya, Rabiah Al Adawiah Zakaria menjangkakan akan ada tiga hingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut ini.

“Risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai dijangka berlaku berikutan ramalan terhadap kejadian air pasang.

“Masyarakat di negeri ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran angin kencang dikeluarkan dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak 3.5 meter,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI