fbpx

Pertembungan Selangor, Singapura digelar Malayan El Clàsico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penganjuran Piala Sultan Selangor adalah bagi meraikan dan mengimbas kembali hebatnya perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, pertembungan di antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai Malayan El Clàsico dengan kedua-dua pasukan musuh tradisi ini sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati.

Katanya, idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula 2001 yang mana pada tahun sama baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.

“Sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura telah bertemu sebanyak 22 kali di perlawanan akhir.

“Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada tahun 1921 menyaksikan Singapura berjaya menewaskan Selangor.

“Dan dalam tempoh itu, Selangor telah menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada tahun 2015. Manakala Singapura dengan 22 kejuaraan sebelum Singapura menarik diri dari Liga Malaysia pada tahun 1994,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah menyindir pasukan Selangor FC selepas memenangi Piala Sultan Selangor pada Sabtu lalu.

Tunku Ismail menegaskan hanya empat piala yang diiktiraf dalam bola sepak tempatan iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih selain pertandingan di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan bukannya setakat piala yang dilabel ‘syok sendiri.’

Selangor Royal Office turut menjelaskan Piala Sultan Selangor adalah eksklusif tidak seperti kejohanan lain dengan melibatkan satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.

Di samping itu, turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.

“Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019. Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

“Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu dan kali terakhir kejohanan berlangsung adalah tahun 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.

Jelasnya, edisi tahun ini dianggap berbeza ia diadakan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka berbanding sebelum ini diadakan sama ada di Stadium Shah Alam atau National Stadium Singapura.

“Lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui mereka amat teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia “permusuhan tradisi” antara kedua-dua pasukan.

“Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan,” katanya.

Justeru, Selangor Royal Office turut menekankan simbolik
persahabatan dan muhibah kesukanan yang diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor ini dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan. -KOSMO!ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI