fbpx

2020 tahun paling mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

TIADA siapa pernah menduga dan menyangka, tahun 2020 akan diwarnai dengan banyak kisah duka lara bukan sahaja bagi rakyat Malaysia, malahan penduduk dunia secara keseluruhan.

Segala-galanya bermula dengan sebuah pasar borong yang terletak di Wuhan, China yang memainkan peranan dalam penularan virus jenis baharu yang cepat merebak dan sangat berbahaya yang pada mulanya dikenali sebagai Novel Koronavirus 2019 (2019-nCOV) pada akhir tahun lalu.

Wabak ini yang kemudian dikenali sebagai Covid-19 mula dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Sehingga 30 Disember 2020, lebih 82 juta kes Covid‑19 telah dilaporkan di lebih 191 buah negara dan wilayah, mengakibatkan lebih 1.79 juta kematian, manakala lebih 58 juta orang telah pulih.

Koronavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Terdapat beberapa jenis koronavirus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MER-CoV).

Sesungguhnya pandemik ini membawa gangguan sosio ekonomi di peringkat global, penangguhan dan pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan, selain ketakutan meluas dalam kekurangan bekalan keperluan yang mendorong pembelian panik.

Di Malaysia, ia boleh dianggap sebagai ‘malapetaka’ besar kerana impak penularannya terlalu menggerunkan hingga kerajaan terpaksa memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu, kemudian digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Banyak sektor ekonomi lumpuh dan ramai pekerja ‘dibuang’, dipotong gaji, diberi cuti tanpa gaji dan sebagainya yang memberi impak negatif kepada institusi keluarga, sosial dan sebagainya.

Paling terkesan, sektor penerbangan dan perhotelan yang mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran penutupan sempadan negara dan sekatan merentas negeri sebelum ini.

Paling menyentuh perasaan, seorang juruterbang yang diberhentikan bertindak kreatif mengenakan pakaian seragam ketika menjual makanan demi kelangsungan hidup.

Menerusi norma baharu ketika pandemik ini juga, aktiviti keagamaan turut menerima tempias yang mana surau dan masjid mengetatkan prosedur operasi standard untuk solat berjemaah.

Lebih menyedihkan, ibadah umrah dan haji juga terpaksa ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19.

Tidak pernah terfikir di benak kita, satu hari nanti, kita tidak boleh bersentuhan, bersalaman dan bersesak-sesak di tempat awam seperti sebelum ini.

Semoga tahun 2021 membawa 1,001 sinar keceriaan buat seluruh penduduk dunia ekoran beberapa negara telah menerima vaksin Covid-19. Selamat menyambut tahun baru 2021 kepada semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI