KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintah membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Hakim Datuk Ahmad Bachee membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman terhadap Najib.
Dalam prosiding itu, Ahmad Bachee berkata, penghakiman terus bermakna mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh antaranya tanpa keterangan saksi.
“Mengikut seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai pendapatan tambahan perlu dibayar dan dikembalikan sebagai hutang kepada kerajaan dengan jumlah sebanyak RM1,692,872,924.83 selain hujahan pihak pembelaan adalah melibatkan fakta yang harus dirujuk atau diputuskan oleh Special Commissioner of Income Tax (SCIT),” katanya.
Terdahulu pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.
Bagaimanapun pada 8 Ogos tahun lalu, Najib memfailkan permohonan menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu. – K! ONLINE