PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi lima negeri ekoran cuaca buruk yang dijangka berterusan sehingga pukul 1 tengah hari nanti.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook memaklumkan, antara kawasan terlibat adalah sekitar utara Semenanjung.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negeri Perlis, Kedah (Langkawi) serta beberapa kawasan di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah dan Bagan Datuk).
“Di Selangor melibatkan Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya,” lapor MetMalaysia.
Selain itu, keadaan yang sama turut dijangka melanda Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson) serta Melaka (Alor Gajah). – KOSMO! ONLINE