fbpx

[VIDEO] Polis bongkar rumah simpan bangkai harimau, gading gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai keadaan bangkai harimau belang dan harimau kumbang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini

KOTA BHARU – Polis berjaya membongkar tempat penyimpanan bangkai dua ekor harimau belang dan kumbang yang sudah dipotong kemaluan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, Kampung Ipoh dekat Tanah Merah hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 7.40 pagi itu, polis turut merampas 10 batang gading gajah yang turut dipercayai akan dijual menerusi pasaran gelap di negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai penjaga di rumah dan merupakan salah seorang yang terlibat dalam sindiket penyimpanan spesies haiwan yang dilindungi itu.

Katanya, berdasarkan siasatan, dua ekor harimau berusia lebih 10 tahun dan gading-gading gajah itu dianggarkan bernilai RM500,000 mengikut harga pasaran telah disimpan di dalam peti sejuk di dalam rumah itu sejak April lalu.

“Siasatan mendapati, kedua-dua ekor harimau ini ditangkap dengan menggunakan kaedah jerat sebelum ia ditembak oleh pemburu haram di kawasan hutan dipercayai di dalam negara ini.

“Kita percaya haiwan-haiwan ini ditangkap oleh individu lain sebelum ia diserahkan kepada sindiket ini seterusnya akan dijual di pasaran gelap,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Adnan Ismail.

Menurut Shafien, berdasarkan siasatan, harimau belang yang dirampas itu dipercayai betina manakala harimau kumbang disyaki jantan berdasarkan kesan yang sudah dipotong pada anggota kemaluan kedua-dua haiwan itu.

Katanya, sindiket itu juga bertindak profesional apabila mereka tahu cara terbaik untuk menyimpan haiwan itu dalam tempoh masa yang lama sebelum ia dijual kepada pembeli.

“Berdasarkan maklumat Perhilitan, harimau belang ini berharga RM300,000 seekor manakala harimau kumbang pula dianggarkan bernilai lebih RM100,000 mengikut pasaran gelap. Kedua-dua haiwan ini dipercayai sudah mempunyai pembelinya.

“Bagi gading gajah, ia dijual pada harga RM10,000 hingga RM15,000 sebatang bergantung kepada berat dan kemampatannya,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Shafien, polis juga percaya terdapat banyak lagi sindiket yang terlibat dalam pemburuan dan penyimpanan haiwan dilindungi di negeri.

Katanya, dengan pembongkaran sindiket penyimpanan haiwan di Tanah Merah itu, beliau yakin ia akan membuka jalan kepada penangkapan individu lain yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1)(b) dan Seksyen 68 (2)(c) Pemuliharaan Hidupan Liar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI