fbpx

‘Menggigil tengok treler rempuh rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bahagian hadapan rumah yang roboh akibat dirempuh treler di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam hari ini.

BUKIT KAYU HITAM – “Jarak saya duduk dengan dinding rumah yang dirempuh treler itu cuma semeter. Alhamdulillah Allah selamatkan saya”.

Demikian kata suri rumah, Shafiqa Shafie, 37, ketika menceritakan saat-saat cemas apabila sebuah treler merempuh rumah didiaminya di Taman Desa Banyanmas, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Shafiqa berehat di bilik tidur utama yang terletak bersebelahan halaman rumah yang dirempuh kenderaan tersebut.

Treler berkenaan dipercayai terbabas dari laluan jalan raya berhadapan kawasan itu.

Rempuhan yang merobohkan struktur bumbung dan tiang di halaman rumah itu juga mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal milik mangsa mengalami kerosakan.

Namun menurut Shafiqa yang tinggal sendirian di rumah tersebut memberitahu, seluruh badannya masih menggigil dan trauma dengan kejadian tidak diingini itu.

“Saya berehat di dalam bilik tersebut ketika mendengar bunyi treler seperti tidak boleh brek. Saya cuba tengok melalui tingkap tetapi treler itu tiba-tiba sudah ada di depan rumah dan menghentam tiang di hadapan rumah.

“Dengan pantas saya lari keluar rumah dan minta tolong. Jarak kedudukan saya dengan kawasan yang dirempuh itu cuma semeter sahaja lebih kurang. Tidak boleh nak cakap dah, masih trauma.

“Saya seperti tidak nampak apa sudah jadi ketika itu termasuk pemandu treler tersebut yang dikatakan mengalami kecederaan sebelum dibawa ambulans,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Shafiqa memberitahu, ketika kejadian dia bersendirian di rumah memandangkan suaminya, Mohd. Shahril Md Wazir, 35, berada di Johor atas urusan kerja.

“Saya bersyukur sangat kerana umur masih panjang. Alhamdulillah, mungkin ini berkat daripada amalan saya mengamalkan zikir Bismillah 5,” katanya.

Sementara itu menurut ibu mertua Shafiqa, Jerina Ali, 62, keluarganya turut bersyukur kerana kecelakaan tersebut tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada menantunya itu.

“Alhamdulillah, malaikat jaga menantu saya. Menantu saya cuma trauma sahaja. Kawasan ini memang sering berlaku kemalangan kerana laluan treler dan penduduk di sini pernah bercadang agar satu tembok dibina bagi mengelak kejadian seperti ini,” katanya yang tinggal tidak berjauhan dengan rumah mangsa.

Dalam pada itu menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, pemandu treler berkenaan yang merupakan seorang lelaki warga Thailand mengalami kecederaan ringan.

“Kemalangan melibatkan sebuah treler kontena yang merempuh sebuah rumah. Kemalangan ini juga membabitkan kereta dan motosikal yang diletakkan di halaman rumah berkenaan.

“Setakat ini hanya pemandu treler yang mengalami cedera ringan dan polis dalam proses menyita treler dan melakukan ujian urin ke atas pemandu. Pemilik rumah tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI