PUTRAJAYA – Perdana Menteri mahu kawasan di sepanjang Dataran Merdeka sehingga Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai kawasan warisan Melayu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ibu kota itu tidak seharusnya dijadikan sebagai hutan konkrit, namun ia juga perlu mempunyai ciri-ciri unik selain mengekalkan kawasan hijau.
“Dari tanah dan kawasan Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad sampai ke Masjid Negara, stesen kereta api dan Carcosa Seri Negara.
“Kita bicara warisan ini walaupun ada sumbangan daripada kaum lain,
warisan di Tanah Melayu tentunya yang tonggak warisan Melayu harus ketara dalam gambaran pembangunan baharu seluruh koridor dari bangunan Sultan Abdul Samad.
“Ini yang disebut transfomasi ekonomi Bumiputera,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), di sini hari ini.
Terdahulu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pernah menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mewujudkan satu kawasan khusus warisan ‘Dunia Melayu’ yang mengandungi segala elemen aspek kehidupan mencerminkan seni budaya tinggi dan warisan Melayu.
Kata Rais, setakat ini belum ada kawasan khusus sebegitu untuk tatapan para pengunjung di ibu negara.
“Kita ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling. Saya amat percaya DBKL mampu merealisasikan hasrat ini untuk menaikkan taraf Bandar Raya Kuala Lumpur, yang akan menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.