LONDON – Masa depan pemain sayap Chelsea, Raheem Sterling difahamkan berada dalam keadaan samar selepas dia disisihkan daripada skuad ketika tewas 0-2 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam kelmarin.
Keputusan pengurus, Enzo Maresca tidak menyenaraikan Sterling dalam skuad ketika bertemu City menyebabkan wakil pemain itu mengeluarkan kenyataan meminta penjelasan kelab berhubung masa depannya.
Ketiadaan Sterling ketika bertemu City sedikit sebanyak menimbulkan persoalan memandangkan pemain berusia 30 tahun berkenaan dianggap sebagai tunjang, terutamanya pada perlawanan penting seperti itu.
“Dia (Sterling) pulang ke England dua minggu lebih awal untuk menjalani latihan individu dan menampilkan aksi cukup baik di bawah pengurus baharu. Dia juga memiliki hubungan cukup baik dengan beliau (Maresca).
“Kami menjangkakan Sterling akan terlibat pada perlawanan hari ini (kelmarin), namun sebaliknya berlaku. Justeru, kami meminta penjelasan daripada kelab berhubung masa depannya di sini,” kata wakil pemain itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Maresca menjelaskan, ketiadaan Sterling dalam skuad ketika berdepan City hanyalah disebabkan keputusan teknikal kerana beliau perlu memilih skuad terbaik untuk perlawanan tersebut.
“Pengurus perlu melakukan keputusan dan kadang-kadang pemain tidak sukakannya, jadi ia perkara biasa. Ia hanyalah keputusan teknikal, tidak lebih daripada itu. Kami ada 30 pemain, jadi tidak ada ruang untuk kesemuanya,” ujar beliau. – AGENSI