GEORGE TOWN – Ahli keluarga Muhammad Danish Syamil Jusfaridan, 21, merayu orang ramai menyalurkan maklumat bagi mengesan pemuda itu yang hilang sejak Sabtu lalu.
Bapanya, Jusfaridan Azizat, 48, berkata, anaknya keluar dari rumah bekas isterinya di Bukit Jambul tanpa memaklumkan lokasi ditujui.
“Kali terakhir Danish dilihat berada di Nibong Tebal. Saya sudah berkali-kali menghubunginya, namun telefon bimbitnya dimatikan.
“Saya juga sudah berhubung dengan rakan-rakannya tetapi mereka juga tidak tahu di mana Danish berada. Kali terakhir kami berjumpa pada Ahad lalu, dia belanja saya dan adiknya makan.
“Pada masa itu dia kelihatan ceria seperti tiada masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Jusfaridan, anak lelakinya yang bekerja di sebuah kedai di Relau tidak pernah menghilangkan diri dalam tempoh lama sebelum ini.
“Dia anak yang baik, tidak pernah buat hal yang tidak menyenangkan hati kami. Kami bimbang keadaannya dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat jika ternampak Danish. Laporan polis juga telah dibuat tengah malam tadi,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Danish boleh menghubungi bapanya di talian 012 535 1349 atau balai polis berhampiran. -KOSMO! ONLINE