fbpx

75 peratus orang Islam berasa tidak selamat tinggal di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
: Penduduk beragama Islam berjalan di luar Masjid London Timur di Tower Hamlets, pada 9 Ogos lalu. - AFP

LONDON – Satu kajian baharu mendapati 75 peratus penduduk beragama Islam di United Kingdom (UK) mengaku bimbang tentang keselamatan diri mereka susulan rusuhan ganas yang tercetus di seluruh negara ber­kenaan, lapor saluran berita Sky News kelmarin.

Kajian tersebut dilakukan oleh badan kebajikan tempatan, Muslim Women’s Network melibatkan ahli-ahlinya.

Hasil kajian mendapati 75 peratus responden mengaku bimbang akan keselamatan diri mereka, berbanding cuma 16 peratus sebelum rusuhan meluas tercetus baru-baru ini.

Angka tersebut merupakan lonjakan sebanyak 60 peratus.

Menurut kajian sama, hampir satu dalam setiap lima responden berkata, mereka berdepan situasi permusuhan sejak insiden serangan pisau di bandar Southport yang mencetuskan rusuhan tersebut.

Keganasan di UK bermula selepas maklumat palsu bertebaran mengenai suspek serangan maut itu. Maklumat yang tersebar meluas secara online menuduh penyerang itu ialah seorang imigran beragama Islam.

Sebaliknya, pembunuh terbabit merupakan warganegara UK berasal dari Cardiff.

Mengupas isu tersebut, Saluran berita Sky News bercakap dengan dua wanita beragama Islam di Masjid Abdullah Quilliam, Liverpool pada 2 Ogos lalu.

Masjid itu menjadi lokasi beberapa pertempuran yang berlaku melibatkan penunjuk perasaan berhaluan kanan dan kumpulan penunjuk perasaan antirasis.

Ketika kejadian, seorang wanita muslim, Lila Tamea dan beberapa jemaah serta sukarelawan lain dinasihatkan supaya menjauhi tingkap kerana perusuh membaling bata dan objek lain dari luar masjid.

Pelajar ijazah doktor falsafah berusia 26 tahun itu memberi­tahu Sky News: “Saya hampir mempunyai tanggapan bahawa pasukan polis tidak akan melin­dungi kami.

“Justeru, adalah sangat pen­ting wujudnya solidariti bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam, malah ramai penduduk bukan Islam yang keluar pada hari tersebut untuk pertahankan masjid ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penyajak berusia 29 tahun, Amina Atiq berkata, dia berasa tidak adil ke­rana tidak mendapat peluang sebagai penduduk beragama Islam untuk bersedih berhubung kematian tiga kanak-kanak (insiden tikaman di Southport) tersebut.

“Kami berasa seolah-olah kami lebih disyaki berhubung serangan itu. Bagaimana saya dapat meyakinkan anda untuk melihat saya sebagai manusia?” katanya

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Muslim Women’s Network, Baroness Shaista Gohir menggesa kerajaan UK untuk meneliti semula undang-undang jenayah kebencian.

“Jenayah kebencian telah meningkat dalam dekad yang lalu, dan strategi jenayah kebencian sedia ada sudah lapuk.

“Saya mahu melihat undang-undang jenayah kebencian diperkukuh dengan istilah ‘permusuhan’ ditakrifkan,” jelasnya.

Shaista juga mendesak tindakan diambil untuk meningkatkan pelaporan jenayah kebencian, terutamanya oleh wanita Islam. Ia bertujuan supaya adanya pemahaman lebih baik tentang kelaziman dan kesan kebencian anti-Muslim. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI