KUCHING – Makan ikan tongkol dan lobak menjadi resipi kejayaan buat pemanah Terengganu, Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan yang memenangi pingat emas bagi kategori recurve 70 meter (m) lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, semalam.
Seperti yang sering diperkatakan, lobak adalah sayuran yang penuh khasiat khususnya untuk kesihatan mata hingga ada yang mengatakan ia mampu ‘mencerahkan’ penglihatan.
Malah daripada laporan media tempatan yang memetik perkongsian Edison Institute of Nutrition, terdapat 10 makanan yang boleh dimasukkan dalam diet untuk kesihatan mata.
Sepuluh makanan itu adalah ikan, kekacang, biji-bijian (seperti biji labu dan bunga matahari), buah sitrus, sayur hijau, keledek, daging, telur, air dan juga lobak merah.
Muhammad Saiful mengakui dia makan lobak sekurang-kurangnya tiga hari seminggu namun aspek latihan juga turut dititikberatkan bagi mempertajamkan kualiti panahan.
“Jika diikutkan saya mula terbabit dalam sukan memanah ketika darjah dua apabila diperkenalkan oleh sepupu. Sukan memanah sangat menyeronokkan namun perlu fokus dan konsisten untuk mendapatkan keputusan terbaik
“Setiap hari makan ikan dan saya rasa kalau tidak ada lauk itu rasa lain. Lobak pula paling kurang tiga kali seminggu wajib makan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Saiful Islam menyatakan hasrat untuk pendidik namun apa juga yang mahu dilakukannya harus mendapat restu daripada kedua ibu bapa. – KOSMO! ONLINE