fbpx

Allahyarham Rozaid antara mangsa ISA – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menziarahi jenazah Allahyarham Rozaid (gambar kecil) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi. - Foto oleh MUHAMMAD ILHAM SYIR’ABBASY ZAKARIA / KOSMO!

PETALING JAYA – Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Rozaid Abdul Rahman sebagai seorang pejuang yang kental dan setia.

Menurut beliau, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu malah pernah dipenjarakan dan antara mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pasca ledakan gelombang reformasi pada tahun 1997 hingga 1998.

“Insya-Allah, perjuangan dan pengorbanan Almarhum akan diteruskan pasukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Rozaid, 59, meninggal meninggal dunia petang semalam di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya akibat masalah jantung.

Jenazahnya disolatkan di Masjid Putra Heights kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum dikebumikan di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, beliau sudah berpuluh tahun mengenali Rozaid dan keluarganya terutama ketika Allahyarham mula mencipta nama sebagai wartawan yang disegani di akhbar Utusan Melayu.

Katanya, bapa Allahyarham juga antara pemimpin terawal PKR dan beliau secara peribadi amat terkesan dengan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang setia dan gigih.

“Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Rozaid, diampunkan segala dosanya serta dilimpahkan kekuatan yang tidak terhingga buat keluarganya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI