KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan pihaknya belum membuat sebarang keputusan bagi meneruskan misi untuk membawa lebih ramai pesakit rakyat Palestin mendapatkan rawatan di negara ini.
Ini kerana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, proses untuk melakukan misi membawa rakyat Palestin itu bukan satu tugas yang mudah.
“Perkara itu (membawa masuk pesakit rakyat Palestin) akan ditentukan oleh kerajaan, tetapi buat masa ini tiada kerana tidak mudah untuk bawa masuk.
“Sebabnya ia bukan mudah untuk mendapatkan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan keadaan rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Mohamed Khaled berkata kesemua pesakit kini sedang mendapat rawatan rapi dan sewajarnya oleh para petugas.
Katanya, proses rawatan pesakit-pesakit terbabit akan mengambil masa agak lama berdasarkan kecederaan yang dialami mereka.
“Mereka (pesakit) ini tidak boleh dirawat dalam masa satu hari, ia akan memakan masa terutamanya jenis kecederaan yang memerlukan tempoh masa yang panjang untuk dirawat,” katanya.
Jumaat lalu Kosmo! melaporkan, dua pesawat pengangkut Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara, Subang membawa kira-kira 127 warga Palestin untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Mereka terdiri daripada 41 orang pesakit berusia antara lapan bulan sehingga 62 tahun bersama 86 orang waris masing-masing.
Kesemua pesakit kemudiannya dibawa ke HAT Tuanku Mizan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE