BENTONG – Mayat seorang mekanik yang dihanyutkan arus deras ketika melintas Sungai Benus semalam ditemukan di atas batu hari ini.
Ketua Polis daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, mayat mangsa, Tan Kok Meng, 59, ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan menemui mayat seorang lelaki di atas batu berdekatan dengan tebing sungai.
“Berdasarkan keadaan mayat, tiada sebarang kecederaan dan mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Semalam mangsa yang juga seorang mekanik hilang dibawa arus deras ketika cuba menyeberang sungai berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa ke tempat kejadian untuk membantu kenalannya mengikat tali ke pokok seberang sungai bagi mengerakkan jentera sedut pasir ke tengah sungai.
Dalam pada itu, Zaiham berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan lelaki yang dilaporkan lemas ditamatkan tengah hari hari ini.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat termasuk penduduk berdekatan di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam usaha mencari mangsa lemas,” ujarnya. – K! ONLINE