KHIDMAT dan program kesukarelawanan boleh membentuk sahsiah dan jati diri seseorang dalam kehidupan.
Bagi seorang mahasiswa, Fatini Nasuha Ahmad Puad, dia menyifatkan program khidmat masyarakat dan kesukarelawanan bersama komuniti telah mengajar dirinya menjadi manusia bertanggungjawab.
Bertahun-tahun menabur bakti dalam program kesukarelawanan, pelajar tahun keempat di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dinobatkan sebagai Tokoh Mahasiswa Harapan.
Anugerah itu diterimanya pada Majlis Anugerah Mercu Sanjungan (MARS) 2023 yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang baru-baru ini.
“Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan cemerlang saya dalam aktiviti khidmat komuniti dan kesukarelawanan.
“Alhamdulillah, saya membawa pulang hadiah wang tunai RM700, sijil dan trofi,” tuturnya saat berkongsi bicara bersama iGen.
Menurut anak jati Shah Alam, Selangor berusia 23 tahun itu, dia dipilih atas penyertaan aktif dalam pelbagai program khidmat sosial anjuran universiti dan Yayasan UMPSA.
Ia termasuk Program Mobiliti Antarabangsa ‘To Give Them Hope’ di Ho Chi Minh, Vietnam sebagai pengurus projek serta program kesukarelawanan seperti Kembara Prihatin@Semporna dan Tuaran di Sabah.
“Saya juga diberi kepercayaan untuk terlibat dan menggalas tanggungjawab sebagai pengurus projek Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang 2.0 yang diadakan pada bulan ini.
“Saya turut memegang jawatan sebagai Presiden Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 selama dua tahun berturut-turut bagi sesi 2021 hingga 2023,” katanya.
Berkongsi jawatan dan program lain yang disertai, anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, dia pernah menjadi Pengarah Karnival Apresiasi Wanita (KASWITA) 2023, Timbalan Pengarah Karnival Indahnya Ramadan dan penceramah dalam Bengkel Pelaporan Program.
“Menerusinya, saya menunjukkan bakat kepimpinan dengan merancang dan melaksanakan acara-acara penting yang memerlukan koordinasi serta kerjasama tinggi,” katanya.
Dia yang mesra disapa Fatini turut meraih pingat emas dalam ‘14th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024’ dan Anugerah Penyelidikan dan Inovasi dalam Majlis Apresiasi Yayasan UMPSA 2023.
Ujarnya, mahasiswa perlu memanfaatkan secara positif ruang dan peluang yang disediakan oleh universiti dengan membawa hasrat ‘Matlamat Pembangunan Mampan’.
Fatini bersyukur apabila mendapat sokongan rakan-rakan dan pihak universiti sepanjang berkhidmat sehingga berjaya meraih anugerah.
“Semoga pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi dan menyemarakkan semangat mahasiswa lain untuk terus beraktiviti.
“Di UMPSA, banyak peluang untuk mahasiswa menyertai program kesukarelawanan terutamanya anjuran Yayasan UMPSA, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni atau persatuan di fakulti,” katanya.
Akuinya, kata-kata inspirasi Imam Shafi’i sentiasa menjadi pegangannya iaitu ‘setiap hari adalah peluang baharu untuk meningkatkan diri’.
“Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana daripada kesilapan kita belajar dan menjadi lebih baik. Teruskan berusaha dan terbang tinggi.
“Jadilah, benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pohon,” katanya sebelum menutup bicara.