fbpx

Kolej universiti rintis program ijazah penguatkuasaan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar Kolej Universiti Inovatif turut menjalani latihan menembak.

DALAM usaha mendedahkan pelajar dengan ilmu penguatkuasaan undang-undang, Kolej Universiti Inovatif di Petaling Jaya, Selangor telah memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang.

Melalui penawaran program pengajian itu di tahap tinggi, ia dapat membantu melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

Naib Canselor Kolej Universiti Inovatif, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, program tersebut merupakan kesinambungan untuk Diploma Penguatkuasaan Undang-Undang yang ditawarkan di institusi pengajian tersebut.

“Program pengajian penguatkuasaan undang-undang adalah sesuatu yang istimewa kerana hanya beberapa universiti menawarkan program ini dan kami adalah perintis untuk peringkat ijazah.

“Melalui program pengajian ini, ia akan melengkapkan keperluan guna tenaga dalam bidang penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, melalui program itu juga, ia dapat membantu mempersiapkan graduan untuk menyertai pelbagai pasukan penguatkuasaan yang ada di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api serta Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang baru-baru ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC), Datuk Dzulkhairi Mukthar di Kelab Menembak Bandar Kajang, Selangor baru-baru ini.

DZULKHAIRI (duduk, tengah) dan Mohamed Mustafa (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama pelajar Kolej Universiti Inovasi.

Selain itu, Kolej Universiti Inovatif menerusi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) juga menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak tahun lalu. Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api adalah salah satu silibus dalam pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda Penguatkuasaan Undang-Undang.

Selain latihan menembak di lapang sasar, LPU juga memberi pendedahan latihan kawad dan pengalaman di mahkamah bagi memperkukuhkan pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pengkhususan pelajar.

Dalam pada itu, Dzulkhairi berkata, usaha memperkenalkan Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api oleh pihak kolej merupakan satu inisiatif yang baik.

“Saya meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai salah satu usaha pihak fakulti dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali.

“Ia bagi melahirkan kadet elit program penguatkuasaan undang-undang. Inisiatif pihak kolej memperkenalkan Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api merupakan usaha yang pertama di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, pemilikan dan penggunaan senjata api di Malaysia dikawal ketat undang-undang di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Justeru, memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam penggunaan senjata api amatlah penting.

Dalam pada itu, Dzulkifli turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Kolej Universiti Inovatif kerana telah mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang.

“Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa pihak kolej memiliki prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Harapan saya agar pelajar dapat mencapai cita-cita dan membanggakan ibu bapa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI