JAKARTA – Seorang wanita di Pati, wilayah Jawa Tengah nekad merobohkan rumah yang dibina bersama bekas kekasihnya selepas lelaki tersebut membatalkan perkahwinan mereka.
Laman berita Tribunnews melaporkan, lelaki tersebut malah berkahwin dengan wanita lain.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @paiho, sebahagian besar bumbung dan dinding rumah tersebut diruntuhkan.
Menurut ketua masyarakat setempat, Eko, kejadian berlaku selepas kekasih wanita itu tidak menunaikan janji untuk mengahwininya, malah dia mendirikan rumah tangga dengan gadis lain.
“Lelaki itu telah berkahwin dengan wanita lain. Rumah tersebut kemudiannya diduduki bersama isterinya, tetapi mereka sudah berpindah selepas ia dirobohkan,” kata Eko.
Tambah Eko, dia membenarkan rumah itu dirobohkan dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. – AGENSI