KUCHING – Kejayaan Cheah Zen Hong memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dalam acara 10 meter (m) air pistol meletakkan nama penembak muda Pahang itu di kelas terendiri.
Tidak hanya mengesahkan pingat emas 10m air pistol, catatan 576 mata dilakukan penembak berusia 18 tahun itu meleburkan catatan lama 574 mata milik bekas penembak Pahang, Abdul Hadi Abdul Malik yang dilakukan pada Sukma 2004.
“Saya cuba untuk buktikan kemampuan saya bagi mencerahkan peluang beraksi dalam kejohanan antarabangsa termasuk ke Piala Dunia. Hanya dengan beraksi di kejohanan antarabangsa akan membuka peluang untuk saya bersaing merebut tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2008.
“Bila nampak atlet senior seperti Johnathan (Wong) beraksi di Sukan Olimpik, ia memberikan saya semangat untuk mengikut jejak langkahnya. Saya sekarang sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Bidikan tepat Zen Hong juga turut membantu Pahang menjuarai acara berpasukan sekali gus merekodkan emas keempatnya pada temasya kali ini selepas memenangi emas 25m standard individu lelaki dan berpasukan, semalam.
Bagi saingan berpasukan, Zen Hong bersama Riky Mohamad Yasin Pakriudin dan Muhammad Zainal Azim Ahmad Mahmud mengesahkan emas selepas mengutip keseluruhan 1,687 mata.
Dalam masa sama, catatan dilakukan itu meletakkan Zen Hong di landasan terbaik untuk cuba bersaing dengan jaguh 10m air pistol negara, Johnathan Wong. – KOSMO! ONLINE