JOHOR BAHRU – Bapa kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 17, menafikan anaknya yang menderita akibat myokymia ketika pencemaran Sungai Kim-kim pada 2019 disebabkan masalah kesihatan sewaktu kecil.
Idham Wazir A Wahab, 53, berkata demikian pada perbicaraan penuh kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Perbicaraan hari pertama saman sivil itu dijalankan di hadapan Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim.
Menurut Idham Wazir selaku saksi plaintif pertama, anaknya yang merupakan bayi pramatang dan diintubasi sejurus kelahiran pernah mengalami kekejangan disebabkan demam panas.
Katanya, walaupun anaknya pernah dimasukkan ke hospital akibat gejala itu ketika usia empat tahun namun masalah kesihatan tersebut sudah hilang ketika menjangkau usia 11 tahun dan dia tidak pernah mengalami sawan.
Tambahnya, sebelum menderita Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan terutama kaki menggeletar serta lemah dan terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak, Irfan Wafiy merupakan seorang anak yang aktif selain gemar berenang dan melakukan aktiviti rock climbing.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin, yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan membabitkan Kerajaan Johor, Menteri Besar, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor pada sesi soal balas.-KOSMO! ONLINE