LONDON – Pasukan Arsenal memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah kanan selepas menewaskan Wolverhampton 2-0 di Stadium Emirates sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta membariskan kesebelasan terbaik dengan Kai Havertz, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka mengetuai jentera serangan.
Havertz membalas kepercayaan yang diberikan apabila membuka akaun jaringan selepas menerima hantaran Saka pada minit ke-25.
Bersambung pada separuh masa kedua, Wolves berusaha untuk bangkit mencari gol penyamaan dan hampir melakukannya tetapi penyudah Matheus Cunha berjaya diselamatkan penjaga gol, David Raya pada minit ke-66.
The Gunners mengesahkan kemenangan apabila giliran Saka mencetak nama selaku penjaring selepas menerima umpanan Havertz pada minit ke-74 dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE