PETRA JAYA – Keupayaan Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI memberi bayangan besar bahawa negeri ini juga mampu menjadi tuan rumah bersama (co-host) bagi Sukan Sukan SEA 2027.
“Oleh itu, kepada YB Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kita (Sarawak) sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama (co-host) bagi Sukan Asia pada tahun 2027,” kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Stadium Sarawak di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Abang Johari menyifatkan sebagai acara sukan terbesar di Malaysia, Sukma bukan hanya sekadar pertandingan antara negeri, tetapi ia adalah satu platform yang mengumpulkan bakat-bakat muda, memupuk semangat kesukanan, dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, salah satu ciri penting SUKMA ialah ia merupakan satu acara kebangsaan yang amat besar dan signifikan yang mana ribuan anak-anak muda berkumpul dan seterusnya menjalinkan kerjasama serta persahabatan sesama diri.
“Ia juga satu peluang di mana anak-anak muda kita juga terdedah kepada pelbagai tradisi dan budaya yang berlainan seperti di Sarawak ini.
“Sebab itu, di Sarawak ini, saya syorkan lokasi lokasi pertandingan di adakan di Bahagian lain untuk mendedahkan anak-anak muda kita kepada kepelbagaian budaya dan kaum etnik yang ada di Sarawak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sukma adalah lebih daripada sekadar pertandingan.
“Ia adalah tentang membina persahabatan, mengeratkan hubungan antara negeri dan menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan generasi muda kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE