IPSWICH – Liverpool dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan 2-0 ke atas pendatang baharu, Ipswich Town pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Portman Road sebentar tadi.
Biarpun turun sebagai pasukan pilihan, namun skuad kendalian Arne Slot itu dilihat sedikit bergelut, terutamanya pada separuh masa pertama apabila sukar untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Selain itu, Ipswich juga tidak memberikan laluan mudah buat The Reds apabila turut melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan penjaga gol, Alisson Becker tidak senang duduk.
Meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun masing-masing buntu untuk membuka tirai jaringan, sekali gus menyaksikan aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Memasuki separuh masa kedua, Liverpool memerlukan masa 15 minit untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi jaringan Diogo Jota yang tenang menyempurnakan hantaran pemain sayap, Mohamed Salah.
Lima minit berselang, pintu gol Ipswich bolos lagi, kali ini menerusi Salah yang bijak melakukan gerakan dalam kawasan kotak penalti sebelum mudah menewaskan penjaga gol, Christian Walton bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Lebih manis, jaringan itu turut menyaksikan pemain Mesir berkenaan melakar rekod baharu Liga Perdana apabila menjadi pemain pertama yang mengumpul sembilan gol dalam aksi pembukaan.
Tersentak dengan dua gol pantas itu, Ipswich cuba memperkemaskan permainan untuk sekurang-kurangnya memburu gol saguhati, namun kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE