Minat mendalam dalam dunia pemasaran membawa gadis manis, Nurain Afiqah Aris, 23, melangkah ke dunia media sosial yang memerlukannya menghasilkan kandungan hampir setiap hari.
Namun, perjalanan anak perempuan tunggal ini tidak lancar dan dia pernah membuat empat laporan polis serta aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas menerima gangguan di media sosial.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis yang mesra dipanggil Piqa yang aktif di TikTok dan Instagram berkongsi dia dijaga tiga bodyguard selepas menjadi mangsa buli siber.
Kosmo! Ahad: Kongsikan karakter, latar belakang anda?
PIQA: Periang dan mempunyai sifat ingin mencuba yang tinggi. Berasal dari Ayer Keroh, Melaka dan berkelulusan Diploma Perakaunan daripada Politeknik Melaka. Kini, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah jenama kopi tempatan.
Mengapa minat dunia pemasaran?
Pada mulanya, saya cuma berjinak-jinak dalam media sosial untuk buat paid review. Lama-kelamaan, mula berminat untuk buat kandungan video setiap hari.
Kongsi pengalaman bergelar content creator?
Sepanjang terlibat dalam dunia maya ini, sudah empat kali laporan polis dibuat dan antara gangguan, orang hantar gambar kereta saya sendiri, gambar lucah, malah ada yang sunting muka saya menjadi sosok yang tidak sepatutnya.
Bagaimana kehidupan ketika ini?
Selepas kejadian itu, keluarga terutama dua abang dan adik lelaki lebih kerap memantau saya di media sosial. Mereka sering ingatkan untuk jaga bahasa dan penampilan. Jika saya keluar, mereka akan tunggu sampai saya pulang.
Bagi saya, apa yang dilalui di media sosial atau luar, perlu dikongsi dengan orang yang kita percaya dan rapat. Jangan lupa beritahu di mana dan dengan siapa anda berada.
Dijaga tiga bodyguard, reaksi orang sekeliling?
Oleh kerana sifat mereka yang tegas dan tidak mudah diajak bergurau tentang satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga, orang luar serta rakan-rakan pun teragak-agak untuk bertanya serta ambil tahu tentang saya.
Pesanan Piqa kepada pembuli media sosial?
Untuk dihormati, tidak perlu mengeji. Setiap perbuatan atau percakapan kita kadang-kadang tidak sama dengan penerimaan orang. Kepada yang menjadi mangsa, jangan panik, percaya diri sendiri dan buat laporan terus jika gangguan berlanjutan atau keterlaluan.
Perancangan kahwin?
Saya rancang untuk menamatkan zaman bujang menjelang umur 27 tahun. Pasangan pilihan sudah tentu yang bertanggungjawab, menjaga agama bersama, pandai ambil hati saya dan keluarga. Tentang fizikal dan umur saya tidak berapa kisah sangat sebabnya kalau dah jodoh, siapa kita untuk persoalkannya.