SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Pakistan yang tular menikam seorang pekerja wanita rangkaian kedai aiskrim untuk menyamun di Taman Sri Muda, direman selama lima hari.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kebenaran reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu diperoleh pihaknya, pagi tadi.
“Permohonan reman itu dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syazwani Abd. Razak. Suspek yang tidak diwakili peguam itu dibenarkan reman sehingga 21 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pekerja wanita berumur 21 tahun cedera selepas ditikam mengggunakan pisau pemotong kertas dalam kejadian pukul 11.30 pagi, Isnin lalu.
Hasil maklumat membawa kepada penahanan suspek di rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, Kuala Selangor, pukul 4.15 petang semalam dan selain senjata yang digunakan ketika kejadian turut dirampas. – KOSMO! ONLINE