KEJAYAAN mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus semalam amat melegakan pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad.
Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, ia membuktikan skuad Tok Gajah mampu menangani mana-mana pasukan biarpun mengalami kemarau kemenangan sejak aksi pembukaan Liga Super pada Mei lalu.
“Belum masanya kita menekan butang panik walaupun hanya menang sekali, empat seri dan tiga kekalahan daripada lapan aksi Liga Super.
“Kita cuma tidak bernasib baik berada di tangga kesembilan namun persembahan dipamerkan meningkat terutama dalam empat perlawanan terakhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Fandi berkata, Sri Pahang sepatutnya menang sewaktu bertemu Sabah, Selangor dan KL City tetapi nasib tidak memihak mereka.
Beliau berkata, kegagalan untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi-aksi tersebut menjejaskan kedudukan skuad Tok Gajah yang kini berada di tangga sembilan Liga Super.
“Saya akan berbincang dengan pengurusan untuk mendapatkan penyerang baharu untuk mengubah nasib pasukan. Begitupun ia bergantung kepada tahap kewangan pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE