SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuatkuasa 1 Januari depan.
Pelantikan Abdul Aziz selaku bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan mengikut Subseksyen 11 (1) dan (2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Pengurniaan watikah pelantikan itu bagi sesi 2021 hingga 2023 serta Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor itu dijalankan di Istana Bukit Kayangan di sini.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selain turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, seramai 20 orang lagi anggota MAIS menerima watikah pelantikan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti Selangor, Ketua Polis Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta 10 lagi anggota daripada lantikan sebelum ini.
“Selain itu, 11 orang Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (MAIS) turut menerima watikah pelantikan diketuai Pengerusi Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Tan Sri Syed Anwar Jamalullail,” jelasnya.
Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin turut berkenaan melantik Mohamad Khalid Share@Shaii selaku Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang berkuat kuasa 16 Disember lalu mengikut subseksyen 58 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. – K! ONLINE