GUA MUSANG – Warga emas merupakan golongan yang paling ramai keluar mengundi awal di pusat-pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, setakat pukul 11 pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keadaan itu dapat dilihat semasa beliau menjalankan tinjauan di tiga buah pusat mengundi, hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun, pengundi golongan muda turut keluar mengundi awal, namun jumlahnya tidak seramai warga emas.
“Golongan warga emas dan muda dilihat menunjukkan kehadiran yang tinggi, tetapi saluran warga emas lebih ramai pada sebelah pagi.
“Bagi saluran orang muda dijangka meningkat selepas pukul 11 pagi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian PRK DUN Nenggiri di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan memberitahu, berdasarkan pemerhatian semasa, SPR turut menjangkakan peratusan mengundi bagi PRK DUN Nenggiri melebihi 60 peratus.
Menurutnya, harapan itu bersandarkan kepada corak pola pengundian penduduk di DUN Nenggiri pada PRK kali ini meningkat berbanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
“Hanya lebih 30 peratus pengundi keluar mengundi setakat pukul 11 pada PRN yang lalu. Bagi PRK kali ini, peratusan mengundi mencatatkan 40.43 peratus pada waktu yang sama.
“Peratusan itu dilihat sangat menggalakkan pada PRK DUN Nenggiri kali ini. Justeru, kita berharap keputusan penuh dapat diumumkan pada pukul 9 malam ini kerana beberapa pusat mengundi di kawasan Orang Asli ditutup lebih awal,” katanya.
Mengikut statistik SPR, pengundi warga emas di DUN Nenggiri terdiri daripada 2,491 orang manakala golongan yang berusia 18 hingga 59 tahun pula seramai 17,786 orang. – KOSMO! ONLINE