PETALING JAYA – Skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) melakar kemenangan pertama di laman sendiri pada musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) 2-1 pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium MP Selayang itu, skuad The Cops tidak mempunyai masalah untuk meraih gol seawal minit ke-9 hasil penyudah cantik yang dilakukan oleh pemain import, Ifedayo Olusegun.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan The City Boys berusaha untuk mencari gol penyamaan dengan melakukan beberapa siri asakan tetapi tuan rumah kebal mengawal benteng daripada dibolosi.
Bersambung pada separuh masa kedua, KL City akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 hasil rembatan pemain import dari Croatia, Jovan Motika pada minit ke-51.
PDRM yang dikendalikan oleh P. Maniam kembali memperkemaskan jentera serangan dalam memburu gol kemenangan.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba selepas pemain import dari Jordan, Fadi Awad meledak jaringan kemenangan pada minit ke-65.
Nasib tuan rumah sedikit malang apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain selepas Safiee Ahmad dilayangkan kad merah berselang enam minit kemudian.
Bagaimanapun, KL City gagal memanfaatkan kelebihan dengan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE