KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang kini membimbing Ulsan HD bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim ini.
Selain Ulsan HD, JDT turut akan menentang tiga lagi kelab hebat di Stadium Sultan Ibrahim seperti Buriram United FC (Liga Thailand), Pohang Steelers (Liga Korea Selatan) dan Shanghai Shenhua (Liga China).
Sementara itu, empat aksi di gelanggang lawan yang bakal ditempuhi Harimau Selatan adalah bertemu Shanghai Port dan Shandong Taishan (Liga China), Central Coast Mariners (Liga Australia) serta Gwangju FC (Korea Selatan).
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards meletakkan harapan JDT dapat bersaing dalam ACLE dengan lebih kompetitif selepas diperkenalkan dengan menggunakan format berbeza bermula musim ini.
“Kami melihat (kejohanan ACLE) dengan cabaran baharu kerana menggunakan format berbeza.
“Sasaran kami tidak hanya sekadar menyertai kejohanan, tetapi kami mahu mencabar untuk membuatkan rakyat Johor dan Malaysia bangga dengan persembahan JDT dalam kejohanan ini,” katanya selepas tamat undian kali ini.
Saingan ACLE telah dijenamakan sebagai kejohanan elit utama peringkat kelab di benua Asia yang menampilkan 12 kelab di wilayah Timur dan 12 kelab di wilayah Barat.
Setiap kelab akan bersaing lapan perlawanan dengan empat aksi di laman sendiri dan empat lagi saingan di tempat lawan. – KOSMO! ONLINE