KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak sudah pun mencapai kata sepakat untuk memberikan insentif RM15,000 kepada setiap pingat emas yang dimenangi oleh atlet negeri itu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan menganggap ia sebagai penghargaan buat setiap atlet yang mengharumkan nama Sarawak
“Saya sudah bincang dengan rakan kabinet saya, jadi saya sudah buat keputusan untuk beri insentif kepada atlet kita. Pingat emas RM15,000, perak RM5,000 dan gangsa akan menerima 3,000.
“Mudah-mudahan mereka dapat sebanyak mungkin pingat. Ini suntikan untuk kita berikan sokongan dan dorongan supaya sukan dijadikan karier.
“Apabila mereka dapat ke tahap tinggi iaitu di peringkat antarabangsa, ia akan bawa nama negeri Sarawak seperti Datuk Pandelela Rinong, Bonnie Bunyau dan ramai lagi,” katanya pada sidang media selepas hadir menyaksikan saingan taekwondo di Stadium Perpaduan, hari ini.
Ganjaran itu juga akan membabitkan pemenang pingat Sarawak pada Sukan Para SUKMA.
Sebelum ini, Selangor dan Johor adalah dua negeri yang menawarkan insentif tertinggi apabila menawarkan ganjaran RM10,000, Pahang (RM6,000), Wilayah Persekutuan, Perak, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan akan berikan ganjaran RM5,000.
Dalam masa sama, Abang Johari juga berterima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras untuk memastikan penganjuran SUKMA 2024 dapat dijalankan dengan lancar.
“Kita dapat banyak komen dan penghargaan daripada rakan kita yang menyatakan mereka senang dengan persiapan kita,” katanya. KOSMO! ONLINE