fbpx

Malaysia pertama di Asia bawa pulang pesakit Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Walid ketika berucap pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan rakyat Palestin di Pangkalan Udara Subang hari ini.

SHAH ALAM – Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada sidang akhbar ketika menyambut ketibaan 127 warga Palestin di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih atas bantuan negara jirannya iaitu Mesir yang telah banyak memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang cedera sebelum ini.

“Terima kasih kepada Malaysia atas usaha menyelamatkan rakyat Palestin yang cedera dalam pembunuhan beramai-ramai rejim Israel.

“Malaysia menjadi negara pertama di Asia membawa pulang warga Palestin yang cedera sehingga menempuh penerbangan lebih 16 jam.

“Usaha itu amat bermakna dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa negara ini termasuk Wisma Putra,” katanya.

Terdahulu, seramai 127 pesakit dan waris rakyat negara itu tiba dengan menaiki dua pesawat A-400M TUDM yang selamat mendarat, kira-kira pukul 2.15 petang.

Ketibaan mereka termasuk wanita dan kanak-kanak itu turut disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut Walid berkata, beliau yakin semua rakyat Palestin yang mendapatkan rawatan di sini selamat dan Malaysia akan menjadi rumah kedua mereka.

“Malaysia sudah lama sentiasa menjadikan Palestin sebagai keutamaan menerusi sokongan dan solidariti yang kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfiq Said Nasr berkata, pihaknya turut menghargai kerjasama Malaysia yang terbukti antara terbaik dalam bantuan kemanusiaan.

“Ia hasil kerjasama baik antara Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Perdana Menteri (Anwar) berkaitan misi khas ini.

“Kami akan terus memberi sokongan kepada Malaysia dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI