SHAH ALAM – Tindakan Malaysia membawa warga Palestin yang cedera untuk mendapat di negara ini adalah bagi mengurangkan risiko di negara bergolak terbabit.
Ini kerana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, risiko untuk mengoperasi hospital medan di Palestin itu terlalu tinggi serta terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk di bom Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Kita tidak membina hospital medan di sana (Palestin) kerana ia sangat berisiko. Lebih-lebih lagi pihak IDF tidak kira markas tentera atau hospital mereka tetap bom.
“Jadi sebab itulah kita tidak melihat itu keputusan yang baik (membina hospital medan). Lebih-lebih lagi Malaysia berpendirian kita yang sangat kuat dan tegas dalam soal Palestin.
“Oleh itu, lebih baik kita bawa balik mereka (pesakit warga Palestin) mendapatkan rawatan di negara ini tanpa apa-apa gangguan sekali gus mereka lebih selamat di sini (mendapatkan rawatan),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menyambut ketibaan warga Palestin di hangar Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kejayaan membawa rakyat Palestin yang cedera bagi menerima rawatan di negara ini juga adalah hasil rundingan dan kerjasama selama dua bulan bersama Kerajaan Mesir.
Katanya, rundingan khas itu juga turut melibatkan Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara.
“Misi membawa rakyat Palestin itu dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera akibat konflik.
“Usaha berkenaan tidak diuar-uarkan kepada pihak luar kerana tidak mahu rundingan bersama kerajaan Mesir terjejas,”katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled memaklumkan, seramai 127 warga Palestin yang terdiri daripada 41 orang pesakit dan 86 orang waris tiba di Malaysia hari ini bagi mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Beliau berkata, kesemua warga Palestin tersebut tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat pengangkut Airbus A-400M TUDM selamat mendarat di Pangkalan TUDM, Subang kira-kira pukul 2 petang.
Jelasnya, kesemua pesakit tersebut terdiri daripada 20 lelaki dan 21 wanita berusia antara lapan bulan sehingga 62 tahun.
“Pesakit-pesakit ini akan saring di hospital medan di Pangkalan TUDM Subang sebelum dibawa ke HAT Tuanku Mizan untuk rawatan selanjutnya.
“Sebanyak 26 ambulan akan membawa pesakit ini ke HAT Tuanku Mizan dan tiga wad akan digunakan untuk menempatkan pesakit-pesakit ini,”ujarnya.
Tambah beliau, kesemua pesakit dan waris warga Palestin itu akan menetap di Malaysia sehingga selesai mendapatkan rawatan dan mereka akan dilindungi sepenuhnya oleh pihak keselamatan.-KOSMO! ONLINE