PETALING JAYA – Susunan tempat duduk anak kapal yang menyimpang daripada protokol antara dapatan dilaporkan Biro siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berhubung nahas pesawat yang meragut 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam.
Menerusi laporan itu, ketua juruterbang duduk di sebelah kanan tempat duduk pesawat, manakala pembantu juruterbang berada di sebelah kiri sekali gus bertentangan dengan ‘Airplane Flight Manual’.
“Penyimpangan ini (tempat duduk) mungkin menyumbang kepada komunikasi dan pengurusan yang tidak berkesan dalam kalangan kru,” menurut laporan setebal 148 muka surat yang dikeluarkan hari ini.
Pada 17 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang dekat sini.
Tragedi ini mengorbankan 10 nyawa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal. Turut terbunuh seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing). – KOSMO! ONLINE