fbpx

Lelaki didakwa rogol, amang seksual fizikal anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka. -Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun sejak tiga bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan ke atasnya di hadapan Hakim Syazana Abd. Lajis.

Lelaki itu didakwa merogol mangsa pada pukul 3 pagi di sebuah rumah di Taboh Naning di sini pada pertengahan Jun lalu.

Tertuduh mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama pada pukul 9 pagi, 4 Julai lalu.

Sabit kesalahan lelaki itu berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama pada 3 Mei dan 12 Jun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu satu jaminan yang rendah dengan alasan dia hanya melakukan kerja-kerja kampung, manakala ibunya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI