PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gaji atau tahap saraan penjawat awam mesti diberi selayaknya dan yang adil, setimpal dengan keadaan semasa dan setelah 12 tahun tidak dikaji.
“Pagi tadi saya telah mengumumkan secara rasmi berkenaan kenaikan gaji penjawat awam yang berpangkal serta berpaksi pada aspek prestasi, disiplin dan ketangkasan sebagai menyemangati kerangka besar reformasi pasukan penjawat awam.
“Saya tekankan bahawa gaji atau tahap saraan penjawat awam mesti diberi selayaknya dan yang adil, setimpal dengan keadaan semasa dan setelah 12 tahun tidak dikaji.
“Kita tegaskan bahawa Ekonomi Madani berpaksi pada usaha dan upaya memperkasa rakyat dan ia termasuk penjawat awam,” tulisnya dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi beliau hari ini.
Tambah Anwar, saat kita mempertegas kebajikan penjawat awam, rakyat terbanyak tidak pernah dikesampingkan. Malah jelas Perdana Menteri, pelbagai bantuan telah ditingkatkan sejak tahun lalu melibatkan pelbagai lapisan dan golongan masyarakat.
“Saya amat berharap dan meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pasukan dan keluarga besar penjawat awam untuk mencermin serta menjelmakan budaya dan etika baru kerja dalam usaha melonjak negara dan bangsa ke tahap yang terbaik,” tulis beliau. -KOSMO! ONLINE.