fbpx

Pemain bola tular bawa kerambit dijel 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nur Iman Shafie ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.- Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang pemain bola yang tular membawa masuk senjata tajam dalam satu perlawanan bola sepak, dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membawa senjata itu hingga membahayakan orang lain.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Iman Shafie Mohd. Sulin, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan pilihan, Muhammad Nur Iman Shafie didakwa menunjukkan senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di mana perbuatan itu dilakukan dengan sebegitu gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di KLFA Football Centre, Jalan 6/4 Desa Melawati pukul 12.45 tengah malam pada 4 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Hukuman seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Muhammad Syawal Mohd. Razak yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan iaitu denda paling minimum dengan alasan pengakuan salah anak guamnya diperingkat awal kes telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibunya menjual nasi lemak. Dalam keluarga tertuduh yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik turut menjaga kedua-dua ibu dan bapanya..tertuduh juga insaf dan memohon maaf,” kata peguam itu.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap sebagai pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Kes ini telah mendapat liputan masyarakat dengan satu hukuman setimpal dapat memberi mesej jelas supaya orang lain juga tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Dalam prosiding sama tertuduh turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan khianat dalam kejadian di hadapan sebuah kelab di Jalan Yap Kwan Seng pada Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama dengan empat lagi yang telah dituduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu dengan membaling empat botol yang telah dinyalakan dengan api ke arah kelab tersebut pukul 2.17 pagi pada 9 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 14 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Nur Iman diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini bagi sebutan semula kes.

Pada 8 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun didapati membawa masuk senjata tajam dalam perlawanan bola sepak.

Suspek ditahan bersama teman wanitanya yang juga warga asing berusia 21 tahun di sebuah rumah di Klang, Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang.

Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan sementara kertas siasatan berhubung kes tersebut dirujuk ke pendakwaan untuk cadangan pertuduhan.

Terdahulu media melaporkan, polis giat mengesan suspek yang juga pemain bola sepak sebuah pasukan dipercayai membawa masuk senjata berkenaan selepas berlaku perselisihan faham antara pasukannya dan lawan.

Tindakan berkenaan dibuat susulan beberapa gambar kejadian yang berlaku sekitar 12.30 malam itu telah tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI