fbpx

‘Benda baik kita aminkan’ – Wani tak tolak jodoh dengan Afieq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wani tidak menolak andai berjodohan dengan Afieq Shazwan.

PETALING JAYA – “Terpulang apa orang nak kata, paling penting saya tahu kami berkawan baik.”

Itu jawapan penyanyi dan pelakon Wani Kayrie mengenai spekulasi hubungan cinta antaranya dengan Afieq Shazwan.

Kata Wani atau nama lengkapnya Syazwani Syafirah Abdullah, 24, dia dan Afieq sememangnya rapat sedari kecil.

“Mungkin kerana kami sudah dewasa sekarang jadi mereka berkata begitu, sedangkan saya dengan dia (Afieq) sudah berkawan sejak kecil.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila menyertai pertandingan nyanyian (Big Stage musim pertama) bersama sebelum ini.

“Apabila perlu membuat kandungan (posting) bersama dan menjalani sesi latihan yang menampakan keakraban kami adalah kerana sudah sekian lama berkawan,” jelasnya kepada Kosmo! Online.

Wani yang membuat persembahan bersama dengan Afieq pada Anugerah TikTok Malaysia 2024 minggu lalu bagaimanapun tidak menolak jika bertemu jodoh dengan rakan baiknya itu.

“Kalau ada jodoh itu terserah kerana benda baik kita amin saja, tetapi selebihnya tiada apa yang boleh saya katakan,” katanya.

Pelakon drama Dayang Senandung itu juga menganggap tindakan rakan artis Janna Nick yang mendakwa hubungan mereka sekejap baik, sekejap tidak (on off) ketika muncul dalam sebuah program hiburan sebelum ini sebagai gurauan semata-mata.

“Janna memang suka mengusik dan saya anggap itu gurauan. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi dia selalu usik saya tanya mengapa tiada kekasih.

“Jadi ada benda juga saya bercerita dengan dia, tetapi macam yang saya kata, kami (Afieq) memang hanya kawan baik dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Khabar angin mengatakan Wani dan Afieq bercinta rancak diperkatakan sejak mereka hadir ke majlis perkahwinan penyanyi Sarah Suhairi pada 26 Julai lalu.

Bagaimanapun tahun lalu, Afieq pernah mengatakan dia bercinta dengan Wani, namun hubungan mereka tidak kesampaian.

Mereka turut dikatakan bermasam muka menjadi baik setelah saling bermaafan ketika menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitiri anjuran penyanyi Sissy Imann tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI