PETALING JAYA – “Jangan sibuk hal aku.”
Demikian peringatan isteri kepada pelawak Shuk Sahar, Fara Salleh yang meminta pelakon Iqram Dinzly agar tidak campur tangan urusan rumah tangganya.
Difahamkan amaran terbuka itu diluahkan selepas Iqram atau nama sebenarnya Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 42, tampil mempertahankan Shuk selain meminta netizen tidak mempercayai sebelah pihak sahaja.
“Bukan aku kahwin dengan kau ya, Encik Iqram.
“Untuk Iqram! Jauhkan diri. Kau geram macam mana pun kau tak ada hak nak masuk campur,” ujarnya
Sebelum ini, menerusi perkongsian Instagram, pelakon drama Mentari Jingga itu berharap orang ramai tidak percaya bulat-bulat dengan kenyataan didedahkan Fara yang didakwa mencurigakan.
Keterbukaan wanita terbabit yang memberi bayangan rumah tangganya dengan Shuk keberantakan apabila suaminya dikatakan sebagai kaki perempuan mengundang pelbagai spekulasi.
Malah, Fara yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi menjalin hubungan dengan Shuk ketika pelawak terbabit masih berstatus suami orang turut mengakui menyesal berkahwin dan telah meminta cerai.
Begitupun, suaminya menafikan tuduhan tersebut selain mendakwa tidak pernah memburukkan isteri di hadapan kawan lain.
Menerusi hantaran lain Fara juga mengambil peluang menegur seorang lagi individu berhubung isu ketika mereka berniaga di Singapura.
Fara menegaskan bahawa tapak jualan di sebuah pesta makanan yang mereka sertai sebelum ini adalah milik Shuk dan seorang lagi rakan niaga.
Katanya, dia bertindak menghalau individu berkenan kerana merasakan lelaki itu hanya menempel di situ.
Shuk berkahwin dengan Fara sejak November tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kedua buat pelawak terbabit.
Sebelum ini, dia mendirikan rumah tangga Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023. – KOSMO! ONLINE